Sunday 14 October 2012

NKRA Linus

Definisi kemahiran literasi dan numerasi asas

  • 1. Proses saringan: Saringan pelajar dilakukan tiga kali setahun pada bulan Mac, Jun dan September setiap tahun sehingga Tahun 3, bagi mengenalpasti pelajar yang tidak mencapai tahap yang ditetapkan. Pelajar yang tidak mencapai sesuatu tahap tersebut akan dikenalpasti sama ada perlu mengikuti program LINUS atau program Pendidikan Khas.
  • 2. Modul pengajaran dan pembelajaran: Modul baru pengajaran dan pembelajaran bagi kemahiran literasi dan numerasi bagi pelajar Tahun 1 sehingga Tahun 3 sedang dibangunkan. Modul ini berbeza daripada modul pemulihan sebelumnya, kerana modul sedia ada hanya memberi tumpuan penguasaan kemahiran literasi atau modul pemulihan untuk pelajar Tahun 4 sehingga Tahun 6. Selain itu, modul ini akan diberi penambahbaikan berdasarkan susunan konsep daripada paling mudah ke sukar difahami di samping memberi penekanan aplikasi konsep yang dipelajari.
  • 3. Latihan guru: Menyedari kekurangan guru pakar dalam pengajaran literasi dan numerasi asas, latihan guru secara intensif akan dimulakan supaya mereka boleh menyampaikan modul pembelajaran dengan berkesan. Mulai November 2009 hingga Februari 2010, seramai 17,000 guru akan dilatih.
  • 4. Meningkatkan komitmen pihak berkepentingan: Program kesedaran akan diadakan kepada semua Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pelajaran Daerah, Pengetua dan Guru Besar, ibu bapa, kesatuan-kesatuan guru dan masyarakat bermula Disember 2009 sehingga Januari 2010. Tujuan program ini adalah bagi meningkat kefahaman semua pihak mengenai kepentingan program LINUS dan untuk mendapat sokongan.
  • 5. Memantau dan menyelia: Pemantauan dan penyeliaan secara intensif oleh pegawai di Pejabat Pelajaran Daerah dan Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti akan dijalankan ke atas 10% sekolah-sekolah berprestasi rendah . Laporan keputusan pemantauan akan dihasilkan dua kali mulai tahun 2010, bagi memantau kemajuan pelajar yang mengikuti program tersebut.
  • 6. Fasilitator di Pejabat Pelajaran Daerah: Jawatan fasilitator khusus untuk membantu guru yang mengajar literasi dan numerasi di sekolah akan diwujudkan di Pejabat Pelajaran Daerah. Selain menjalankan ‘coaching and mentoring’ ke atas guru program LINUS, mereka juga akan membantu sekolah merancang strategi yang sesuai berdasarkan keputusan ujian saringan yang dijalankan di sekolah serta berperanan sebagai pegawai antara sekolah, PPD, JPN dan MOE.

Falsafah Pendidikan Kebangsaan

"Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketrampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara."

Falsafah pendidikan yang menjadi panduan bagi semua aktiviti pendidikan di Malaysia dekenali sebagai FPK. Dengan adanya FPK, maka sistem pendidikan negara sebenarnya menganjakkan diri ke kedudukan terkehadapan dengan mengungkapkan secara jelas prinsip dan nilai asas yang mendasari dan membentuk sistem pendidikan Malaysia daripada peringkat yang paling rendah hingga kepada peringkat tertinggi iaitu universiti. FPK menjelaskan tujuan dan matlamat pendidikan untuk individu dan negara. Kedua-dua tujuan selaras, iaitu untuk melahirkan insan yang berilmu, berakhlak mulia dan bertanggungjawab yang juga akan menjadi seorang warganegara yang baik. Pendidikan merupakan proses asas dan utama untuk pembinaan insan yang baik, seimbang dan bersepadu yang secara langsung merupakan saluran utama dan yang paling penting untuk menjayakan hasrat dan cita-cita negara.

Salah satu yang terkandung dalam FPK adalah falsafah tentang manusia yang berasaskan kepercayaan kepada Tuhan dan agama. Matlamat pendidikan adalah untuk membangunkan semua aspek diri manusia secara harmonis dan seimbang supaya kesepaduan fitrah diri manusia terpelihara. Berilmu dan berpendidikan harus menghasilkan budi pekerti yang baik dan akhlak yang mulia yang sekali gus menjadi cirri-ciri asasi seorang ahli keluarga, masyarakat dan warganegara yang baik dan terdidik.

Satu konsep asas yang terkandung dalam FPK ialah tentang ilmu, nilai ilmu dan peranan ilmu dalam pembangunan insan dan masyarakat. Nilai ilmu terletak pada kebenaran kandungan yang berfungsi bukan sahaja untuk memaklumkan dan menerangkan kepada manusia akan sesuatu, tetapi lebih penting lagi ilmu mempengaruhi, mengubah dan membentuk diri serta masyarakat manusia. Fungsi ilmu yang boleh mengubah manusia dan masyarakat inilah yang menjadikan sesuatu yang amat tinggi nilainya. Pendidkan ialah satu proses dan aktiviti sepanjang hayat dan manusia sentiasa berada dalam keadaan memerlukan perluasan, pendalaman dan pengesahan kepada ilmu yang ada. Pengalaman bukan sahaja boleh memperkaya dan mengukuhkan ilmu tetapi juga mencabar dan mengubah ilmu yang sedia ada pada manusia.

FPK juga melihat individu itu dalam beberapa lapisan pertalian atau perhubungan. Tujuan pendidikan bukan sahaja untuk pembangunan dan kesejahteraan diri individu tetapi juga untuk pembangunan dan kesejahteraan setiap lapisan hubungan individu berkenaan bermula dengan keluarga, meluas kepada masyarakat dan negara.

Berdasarkan FPK, jelas bahawa tujuan pendidikan tinggi bukan hanya setakat memperoleh segulung ijazah atau diploma, tetapi adalah untuk pembangunan diri manusia secara menyeluruh dan seimbang supaya menjadi seorang insan, ahli keluarga dan masyarakat dan warganegara yang berilmu, bertanggungjawab, berakhlak mulia, dan berbakti.
Sumber : 50 Tahun Pembangunan Pendidikan Tinggi di Malaysia (1957-2007) -Penerbit USM, 2007